Sunday, August 07, 2005

Anjakan paradigma

Graduan perlu anjakan paradigma - TPM

MELAKA 6 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa para graduan agar melakukan anjakan paradigma dengan mengubah pemikiran mereka terhadap bidang pekerjaan dan menjadi pekerja yang diperlukan oleh pasaran sepanjang hayat mereka.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, keadaan di mana sesebuah syarikat mengambil graduan yang baru tamat pengajian untuk bekerja tanpa mengira keupayaan dan prestasi mereka telah berlalu.
``Pada masa itu yang perlu dilakukan hanyalah dengan menjadi pekerja setia kepada syarikat, maka dia boleh mengharapkan terus diambil bekerja sehingga tempoh persaraannya,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Sastera daripada Canselor Universiti Multimedia (MMU), Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada majlis konvokesyen universiti itu, di sini hari ini.
Najib berkata, dalam menghadapi persaingan sengit pada masa ini, syarikat-syarikat terpaksa bersaing untuk terus bertahan.
Menurutnya, graduan perlu berfikir tentang cara untuk menjadi pekerja terlatih dan mempunyai skil yang diperlukan oleh pasaran.
``Dengan kata lain, ambil tindakan yang betul untuk memastikan kita menjadi pekerja yang diperlukan sepanjang hayat kerana ini akan memberi kita peluang untuk terus mencapai kejayaan,'' jelasnya.
Najib berkata, dalam usaha melahirkan modal insan yang intelek, lebih ramai tenaga kerja yang berpengetahuan diperlukan bagi menggalakkan percambahan idea dan memberi nilai tambah terhadap organisasi.
Dalam hubungan ini, beliau mahu Malaysia menjadi `rumah' bagi saintis, jurutera, doktor, pengurus, penyelidik serta ahli profesional dalam bidang kewangan, teknologi maklumat dan peniagaan.
Dalam ucapannya Najib yang juga bekas Menteri Pelajaran mengimbas kembali agenda kerajaan menjana pertumbuhan pendidikan tinggi negara pada 1996 dalam usaha menjadikan negara pusat kecemerlangan pendidikan.
Kerajaan pada masa itu jelas beliau, melihat peripentingnya untuk menjalin hubungan dengan universiti luar negara di seluruh dunia dengan mewujudkan program berkembar dengan universiti tempatan.
``Pada masa yang sama, kita mahu mengembangkan lagi universiti tempatan sama ada universiti awam atau swasta bagi menarik institusi lain dan pelajar luar negara belajar di sini,'' jelasnya.
Menerusi usaha itu katanya, muncul institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seperti MMU yang dibangunkan oleh Telekom Malaysia Berhad yang kini semakin berkembang dengan sembilan peratus daripada 21,000 pelajarnya adalah dari 75 buah negara.
Beliau berkata, penubuhan IPTS dapat menjurus kepada pendidikan yang bukan sahaja berkualiti tetapi dapat merealisasikan hasrat untuk melaksanakan konsep pendemokrasian pendidikan.
MMU menurut beliau, dapat menjana bilangan tenaga mahir yang diperlukan oleh negara selain mengekalkan standard pendidikan yang tinggi dan diiktiraf oleh dunia.
``Dengan penyertaan sektor swasta dan komitmen kerajaan untuk mengembangkan peranan universiti dan kolej, kita yakin akan dapat mencapai sasaran 40 peratus rakyat Malaysia berumur antara 17 dan 23 tahun mendapat pendidikan tinggi menjelang tahun 2010,'' katanya.

Klik for more info
 
Copyright @ UmmiHusnaLukman 2013 | All Right Reserved | Designed By Shahada Fauzi